"Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta... Apabila hamba-Ku datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari..."
Itulah bunyinya sebahagian hadis Qudsi yang pernah saya pelajari dari para murabbi. Betapa hadis ini telah mengetuk pintu hati dan fikiran sehingga bisa mengunci mulut yang sedang berbicara, menghentikan kerdipan mata dan membuat jantung berdegup dengan lajunya, seolah-olah dipanah asmara. Betapa kasihnya Allah pada hamba-Nya walau bagaimana sebanyak mana pun dosa yang telah diperlakukan hatta seluas langit namun, keampunan-Nya tiada kesudahan..
Dan jalan pertemuan antara dua cinta iaitu cinta hamba dan Rabbnya itulah yang dinamakan TAQWA. Apabila bercakap tentang taqwa, saya rasa saya bukanlah orang yang benar-benar layak membicarakan tentangnya kerana merasakan diri ini terlalu jauh dari derajat TAQWA itu sendiri. Terlalu lumpuh keimanan ini.
Saya teringat suatu sesi di dalam Halaqah Bimbingan bersama cikgu AB dan cikgu ZAG, di mana ketika itu adalah halaqah terakhir untuk bulan Ramadhan 1430H. Kami membincangkan tentang anak-anak tangga yang perlu dipanjat bagi mencapai derajat tertinggi ini. Saya hanya mendiamkan diri dan tidak mampu tersenyum kerana saya merasakan diri ini terlalu hina untuk menyebut TAQWA, terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan teman-teman sefikrah yang lain.Terlalu jauh..
Dan salah satu anak tangga itu adalah Qalbun Salim atau hati yang sejahtera. Bagaimana hendak mendapat hati yang sejahtera? Pastinya melalui Aqidah dan Ibadah yang sejahtera dan sempurna juga. Tetapi bagaimana pula hendak dicapai semua itu jika masih terdapat secebis penyakit hati yang sering membelenggu jiwa ini? penyakit
riya',hasad, takabbur dan bongkak? Syirik Khafiy (syirik kecil) yang tersembunyi sedangkan Allah sendiri telah berfirman yang memberitahu kita bahawa segala dosa hamba sama ada besar atau kecil boleh diampunkan Allah kecuali syirik?
Kita berpuasa tapi niat nak kurus, bukan niat ibadah semata-mata kerana Allah, itu sudah syirik. Kita niat solat sebab nak orang ingat kita ni baik sangat,itu sudah syirik. Bila pakai cantik-cantik, kita nak pujian manusia,itu sudah syirik. Kita baca Quran supaya orang taw suara kita sedap, itu sudah syirik. Kita hafal banyak agar orang akan kata kita kuat hafazan, itu sudah syirik. Kadang-kadang kita tidak sedar semua ni kerana kita menganggapnya sebagai lintasan hati yang biasa padahal benda-benda ni laa yang mencacatkan ibadah kita.Sedangkan TAQWA itu sendiri diibaratkan seperti melalui jalan yang berduri, perlu berhati-hati.Duri-duri jahiliyah. Saya hanya memperingatkan diri saya sendiri sebab saya sedar, benda-benda ni ada pada diri saya. Saya akuinya.
TAQWA juga adalah natijah daripada proses keimanan. Dan keimanan pula lahir daripada proses tarbiyah dzatiyah yang berterusan.
Seorang teman bertanya pada Cikgu AB,
macam mana kalau seseorang tu tinggi fikrahnya, banyak ilmunya tetapi syahsiahnya tidak terjaga?
Agak menusuk jugak statement tu pada hati saya walaupun saya tahu sebenarnya soalan tu soalan umum. Terasa sangat hati ni sebab saya tahu syahsiah saya sebagai seorang muslimah memang tak betul lagi, tidak padan dengan tarbiyah yang telah saya jalani selama 6 tahun.
Tarbiyah melahirkan syahsiah. Itulah jawapan cikgu. Kalau syahsiah dia tak betul lagi, maksudnya tarbiyah masih belum betul-betul berjalan dalam dirinya.
Fikrah saya tidaklah setinggi mana tetapi cukupkah 6 tahun untuk memproses hati ini? Mungkinkah 6 tahun itu ibarat 6 hari sahaja? Ataupun 6 saat? Saya sedar masih banyak proses yang perlu saya lalui. Saya masih belum matang dan bersikap keanak-anakan.
Seorang teman lain pula berkata, tarbiyah dzatiyah ni berjalan dalam diri kita setiap masa, tiada henti...
Tetapi kita hanyalah bergelar hamba, yang memandang Rabbnya dengan penuh sifat kehambaan. kerendahan hati sebagai seorang hamba itulah yang mendekatkan hamba itu dengan Rabbnya. merasa lemah berbanding yang menciptakannya. Bos mana suka pada pekerja yang lebih sudu daripada kuah? Bos mesti sayang pada pekerja yang tahu kelemahan diri dan sentiasa cuba untuk memperbaiki.
Allah tidak meminta kita menjadi hamba yang terbaik tetapi Allah mahu kita berusaha yang terbaik. Manusia ciptaan yang penuh kelemahan, sentiasa berbuat dosa. Sebab itu Allah sentiasa membuka pintu taubat-Nya selagi ruh masih belum sampai ke kerongkong,dan sehinggalah matahari terbit dari ufuk barat. Allah suka pada hamba-Nya yang bertaubat.
Sebab itu saya selalu ingatkan diri saya,
jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat Allah. Allah tidak suka hamba-Nya yang berputus asa. Kita hamba, usaha kita terbatas. Allah tidak pernah memaksa, tidak pula meminta. Kufur kita tidak mengurangkan sedikit pun dari keagungan dan kekuasaan-Nya. Tetapi tidak pula dia mengabaikan kita begitu sahaja. Maka belajarlah menjadi hamba yang bersyukur dalam menyusuri jalan menggapai TAQWA.